WARISAN DAN BUDAYA

Bandar Seremban sama seperti Bandar Bersejarah yang lain. Bandar ini telah wujud sejak kurun ke 17 dengan dahulunya Bandar ini mempunyai pelabuhan penting yang terletak di tepi Sg. Linggi. Pada kurun ini juga, orang Minangkabau telah memasuki ke Negeri Sembilan dan berasimilasi bersama penduduk-penduduk tempatan. Bandar Seremban ini  juga kaya dengan warisan dan kebudayaan. Kebudayaan yang diamalkan di Bandar Seremban di namakan Adat Perpatih. Hal ini dapat dilihat melalui senibina-senibina yang terdapat di dalam Bandar yang dipengaruhi oleh beberapa generasi pembangunan Tradisional, Pasca-Klasik sehinggalah ke pembangunan Moden. Oleh itu, sebanyak 6 buah Bangunan di Bandar Seremban telah diwartakan sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan yang bertujuan memelihara dan memulihara bangunan tersebut.

 

Pengenalan Akta Warisan Kebangsaan

Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645] merupakan Akta untuk menguatkuasakan peruntukan bagi pemuliharaan dan pemeliharaan Warisan Kebangsaan, warisan semulajadi, warisan kebudayaan ketara dan tidak ketara, warisan kebudayaan di bawah air dan harta karun serta perkara yang berkaitan.

Akta 645 diluluskan oleh Parlimen pada 7 Disember 2005 dan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 31 Disember 2005. Akta ini telah berkuat kuasa pada 1 Mac 2006 dengan memansuhkan dua (2) Akta terdahulu, iaitu Akta Benda Purba 1976 dan Akta Harta Karun 1957.

Akta 645 mengandungi 17 bahagian yang terdiri daripada 126 seksyen berkaitan pemuliharaan dan pemeliharaan warisan. Akta 645 memperuntukkan kuasa kepada Menteri untuk menggubal dasar berkaitan pemuliharaan dan pemeliharaan warisan, pelantikan Pesuruhjaya Warisan, Ahli Majlis dan Pegawai Penguatkuasa serta pelantikan pegawai bagi membantu Pesuruhjaya Warisan dan Ahli Majlis Warisan Kebangsaan menjalankan fungsi dan tanggungjawab seperti yang digariskan oleh Akta. Sehubungan itu, segala perkara berkaitan pemuliharaan dan pemeliharaan warisan adalah tertakluk kepada Akta 645.

Sebarang ketidakpatuhan terhadap mana-mana peruntukan Akta 645 merupakan suatu kesalahan yang boleh dikenakan kompaun, denda atau dipenjara.