SEREMBAN: Operasi Pasukan Petugas Perjudian Siber (PPPS) Negeri Sembilan, memberi kesan positif apabila empat pihak berkuasa tempatan (PBT) bebas dari kegiatan haram itu sepanjang tiga bulan pertama tahun ini. Empat PBT berkenaan ialah Majlis Daerah Tampin (MDT), Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP), Majlis Daerah Rembau (MDR) dan Majlis Daerah Jelebu (MDJL). Bagaimanapun, empat PBT lain masih bergelut menangani kegiatan judi siber, iaitu Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Majlis Perbandaran Nilai (MPN), Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan Majlis Daerah Jempol (MDJ). Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan, Datuk Jalaluddin Alias, berkata PPPS yang disertai oleh polis, PBT, Jabatan Imigresen dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, membuat 2,658 serbuan antara Januari hingga Mac lalu. Daripada jumlah itu, katanya sebanyak 68 serbuan di MPS mencatatkan kejayaan, diikuti MPN (41), MPPD (15) dan MDJ (7). "Hasil serbuan itu, seramai 167 penjaga atau pekerja premis judi siber serta 500 pelanggan ditahan," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Wisma Negeri di sini, hari ini. Yang turut hadir, Setiausaha Keselamatan Negeri Sembilan, Tajul Ariffin Muhamad. Jalaluddin berkata, kerajaan negeri bertekad untuk membebaskan negeri ini sepenuhnya dari kegiatan perjudian siber yang menimbulkan pelbagai masalah sosial di kalangan masyarakat. Sehubungan itu, empat PBT yang masih menghadapi masalah itu, terutama MPS dan MPN perlu lebih agresif untuk memastikan kegiatan itu dapat dikurangkan. "Memang masalah ini bukan mudah untuk ditangani, tetapi kita perlu bekerja keras dan setakat ini, sudah ada kesedaran di kalangan pemilik premis perniagaan supaya mengetahui mengetahui jenis perniagaan pihak yang menyewakan premis mereka," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/280629