Asal-usul Sg. Ujong

Seremban yang awalnya dikenali sebagai Sungai Ujong. Sg. Ujong telah wujud kurun ke 14. Semasa era pemerintahan Portugis di Melaka, Sungei Ujong tertakluk kepada pemerintahan Sultan Johor pada 1760. Sungei Ujong mendapat nama daripada peristiwa penebangan pokok Merbau Tua di Rembau. Di ceritkan pokok Merbau Tua tersebut sebesar sebuah kampong dan mengambil sebulan untuk di tebang. Maka setelah pokok tersebut ditebang, bahagian hujungnya jatuh di sebatang sungai dan dijadikan sebuah penempatan setelah mereka jejaki hujung pokok tersebut. Demikian sejarahnya Sungei Ujong memperolehi namanya. Di dalam pemerintahan sebelum kedatangan Inggeris , Sg Ujong merupakan daerah pentadbiran yang terbesar dan tertua yang meliputi Beranang, Pantai, Rantau, Kelawang, Paroi, Labu, Mantin, Mendun dan Linggi. Kesemua daerah ini ditadbir oleh Datuk Kelana Putera Sungei Ujong

 

SG. UJONG DI ERA PEMERINTAHAN INGGERIS 

Sungei Ujong yang dikenali Bandar Seremban muncul seperti mana bandar-bandar lain di negara ini iaitu di sekitar tahun 1870-an dan dipercayai bermula apabila kawasan di sekitar Rasah didapati kaya dengan hasil bumi iaitu bijih timah. Apabila ianya mengalami kemasukan penduduk (migrasi) yang pesat terdiri dari orang-orang Cina, Arab dan juga bangsa Melayu dari tempat lain, Seremban bukan sahaja menjadi pusat melombong bijih timah tetapi juga pusat perdagangan. Peniaga-peniaga pada masa itu menggunakan Sungai Linggi sebagai laluan pengangkutan perdagangan mereka manakala penduduk Melayu tempatan di kawasan ini kebanyakannya adalah petani.

Semasa pemerintahan Pihak Penjajah Inggeris, Pihak Penjajah Inggeris mengambil kesempatan untuk mula campur tangan di atas pergolakan peperangan yang berpunca dari perebutan hak dan kawasan perlombongan bijih timah di antara Dato' Kelana dan Dato` Shahbandar. Ini telah memberi ruang kepada Inggeris menempatkan kuasa dengan melantik Residen pertamanya Kapten Murray di mana residensinya didirikan di Jalan Channer (Jalan Dato'Siamang Gagap). Bermula dari detik itu penduduk-penduduk Rasah mendirikan penempatan mereka di sekitar Jalan Channer kerana mereka merasakan tinggal di kawasan yang mempunyai undang-undang dan peraturan Inggeris selamat dan meyakinkan.

Berikutan dari peristiwa di atas, maka muncul deretan kedai di sepanjang Jalan Murray (Jalan Kapitan Tam Yeong), Jalan Pasar dan jalan-jalan utama seperti di Jalan Paul (Jalan Yam Tuan) dan Jalan Birch (Jalan Dato` Bandar Tunggal) yang mana semua nama-nama jalan ini mengambil sempena nama Residen - Residen British ketika itu.

 

PIHAK BERKUASA TEMPATAN SEREMBAN

Sebelum  zaman pendudukan Jepun, peranan Unit Penguasa Tempatan Seremban (dikenali sebagai Lembaga Kesihatan - (1897) terletak dibawah pentadbiran Residen yang ditubuhkan melalui Warta Kerajaan No. 285 bertarikh 15hb. September 1899) masih lagi terhad kepada menyediakan keperluan asas sahaja. Namun selepas Perang Dunia Ke-II, pembangunan bandar Seremban begitu pesat dimana perubahan demi perubahan yang berlaku memaksa Lembaga Kesihatan yang terhad aktivitinya diubah menjadi sebuah Lembaga Bandaran melalui Warta Kerajaan No. 143 bertarikh 12hb. Januari 1946 sehingga 1953 apabila ianya dinaikkan taraf kepada Majlis Bandaran Seremban. Pengerusi Lembaga Bandaran Seremban selepas perang ialah seorang pegawai Inggeris, LHN Davis manakala Pegawai Daerah Seremban merangkap Setiausaha Lembaga Perbandaran ialah YM Raja Azman Bin Raja Sir Chulan.

Apabila Negeri Sembilan telah menjadi anggota Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896, Seremban dengan sendirinya menjadi pusat pentadbiran, perdagangan dan pertanian bagi Negeri Sembilan. Seremban dianggarkan pada waktu itu (1916) memiliki penduduk seramai 20,000 orang dimana deretan bangunan kedai telah pun mula dibina disepanjang Jalan Paul, Jalan Birch, Jalan Cameron (Jalan Dato` Lee Fong Yee) dan Jalan Setul (Jalan Tun Dr. Ismail).

Tanggal 1953, Perlembagaan Lembaga Perbandaran Seremban telah dimansuhkan oleh Raja-Raja melalui Warta Kerajaan No. 262 bertarikh 14hb. April 1953. Mematuhi Seksyen 51 (1) Ordinan Pilihanraya Pihak Berkuasa Tempatan 1950, Pilihanraya Kerajaan Tempatan yang pertama telah diadakan pada 22hb. Ogos 1953. Pentadbiran Majlis Perbandaran Seremban pada waktu itu sering silih berganti mengikut suasana politik semasa di bandar Seremban. Bandar Seremban telah dibahagikan kepada 4 kawasan pilihanraya iaitu kawasan Temiang, kawasan Lake, kawasan Rahang dan kawasan Lobak. Berikut adalah senarai Pengerusi atau Presiden Majlis Perbandaran Seremban bermula dari tahun 1953 - 22hb. Julai 1965. Pada tanggal 23hb. Julai 1965, pentadbiran Majlis Perbandaran Seremban telah diambil alih oleh YAB. Dato' Menteri Besar Negeri Sembilan.

 

SEREMBAN DAN NILAI ERA KINI

Bandar Seremban dan Bandar Nilai kini mengelami evolusi perkembangan yang pesat melalui pembangunan Industri, perumahan, pengangkutan dan pelancongan. Dasar-dasar efektif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri menyebabkan kedua-dua Bandar ini terus membangun sejajar dengan matlamat kerajaan ini iaitu Bersih, Muafakat dan Sejahtera.

Tanggal 1 Januari 2020 secara rasminya Majlis Perbandaran Seremban dan Majlis Perbandaran Nilai telah bergabung menjadi satu entity iaitu Majlis Bandaraya Seremban. Pengabungan dan penaiktarafan status bandar ini melambangkan daerah Seremban telah menjadi satu Kota Metropolis yang penting di dalam pembangunan ekonomi di Malaysia. Penaiktarafan Majlis Bandaraya Seremban ini sekali gus membuktikan daerah Seremban kini mampu bersaing di kalangan Bandaraya di seluruh dunia yang bersama-sama melaksanakan pembangunan yang mampan.

Usaha-usaha pengabungan dan penaiktarafan status Bandar ini telah bermula sejak tahun 2008 yang dicetuskan oleh YB Dato’ Seri Mohamad bin Hj Hasan , Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, dan diteruskan oleh kini oleh  YAB Dato Seri Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan.

Pada 12 November 2008, Kerajaan Negeri, telah meluluskan cadangan untuk mencantumkan MPS dan MPN sebagai satu entiti dan menaikan tarafnya kepada Majlis Bandaraya Seremban

Selain itu, pada 2 Februari 2009 , telah juga mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia di dalam menaik taraf Majlis Bandaraya Seremban serta 20 April 2012 Mesyuarat Jemaah Menteri juga telah meluluskan juga berkaitan di atas.

Pengabungan dan penaiktarafan ini juga telah mendapat perkenan DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan tanggal 1 Januari 2020 maka secara rasminya Seremban menjadi Majlis Bandaraya Seremban.

Sejarah gilang gemilang ini pastinya satu titik tolak untuk Seremban terus maju serta pihak Majlis Bandaraya Seremban untuk terus menawarkan perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh warga Seremban. Daerah Seremban juga secara tidak langsung akan menjadi tumpuan kepada pelabur mahupun pelancong setaraf dengan bandaraya yang ada diseluruh Dunia.