Asal-usul Sg. Ujong (Gambar 1)

Seremban yang awalnya dikenali sebagai Sungai Ujong. Sg. Ujong telah wujud kurun ke 14. Semasa era pemerintahan Portugis di Melaka, Sungei Ujong tertakluk kepada pemerintahan Sultan Johor pada 1760. Sungei Ujong mendapat nama daripada peristiwa penebangan pokok Merbau Tua di Rembau. Di ceritkan pokok Merbau Tua tersebut sebesar sebuah kampong dan mengambil sebulan untuk di tebang. Maka setelah pokok tersebut ditebang, bahagian hujungnya jatuh di sebatang sungai dan dijadikan sebuah penempatan setelah mereka jejaki hujung pokok tersebut. Demikian sejarahnya Sungei Ujong memperolehi namanya. Di dalam pemerintahan sebelum kedatangan Inggeris , Sg Ujong merupakan daerah pentadbiran yang terbesar dan tertua yang meliputi Beranang, Pantai, Rantau, Kelawang, Paroi, Labu, Mantin, Mendun dan Linggi. Kesemua daerah ini ditadbir oleh Datuk Kelana Putera Sungei Ujong

SG. UJONG DI ERA PEMERINTAHAN INGGERIS (Gambar 2)

Sungei Ujong yang dikenali Bandar Seremban muncul seperti mana bandar-bandar lain di negara ini iaitu di sekitar tahun 1870-an dan dipercayai bermula apabila kawasan di sekitar Rasah didapati kaya dengan hasil bumi iaitu bijih timah. Apabila ianya mengalami kemasukan penduduk (migrasi) yang pesat terdiri dari orang-orang Cina, Arab dan juga bangsa Melayu dari tempat lain, Seremban bukan sahaja menjadi pusat melombong bijih timah tetapi juga pusat perdagangan. Peniaga-peniaga pada masa itu menggunakan Sungai Linggi sebagai laluan pengangkutan perdagangan mereka manakala penduduk Melayu tempatan di kawasan ini kebanyakannya adalah petani.

Semasa pemerintahan Pihak Penjajah Inggeris, Pihak Penjajah Inggeris mengambil kesempatan untuk mula campur tangan di atas pergolakan peperangan yang berpunca dari perebutan hak dan kawasan perlombongan bijih timah di antara Dato' Kelana dan Dato` Shahbandar. Ini telah memberi ruang kepada Inggeris menempatkan kuasa dengan melantik Residen pertamanya Kapten Murray di mana residensinya didirikan di Jalan Channer (Jalan Dato'Siamang Gagap). Bermula dari detik itu penduduk-penduduk Rasah mendirikan penempatan mereka di sekitar Jalan Channer kerana mereka merasakan tinggal di kawasan yang mempunyai undang-undang dan peraturan Inggeris selamat dan meyakinkan.

Berikutan dari peristiwa di atas, maka muncul deretan kedai di sepanjang Jalan Murray (Jalan Kapitan Tam Yeong), Jalan Pasar dan jalan-jalan utama seperti di Jalan Paul (Jalan Yam Tuan) dan Jalan Birch (Jalan Dato` Bandar Tunggal) yang mana semua nama-nama jalan ini mengambil sempena nama Residen - Residen British ketika itu.

PIHAK BERKUASA TEMPATAN SEREMBAN (Gambar 3)

Sebelum  zaman pendudukan Jepun, peranan Unit Penguasa Tempatan Seremban (dikenali sebagai Lembaga Kesihatan - (1897) terletak dibawah pentadbiran Residen yang ditubuhkan melalui Warta Kerajaan No. 285 bertarikh 15hb. September 1899) masih lagi terhad kepada menyediakan keperluan asas sahaja. Namun selepas Perang Dunia Ke-II, pembangunan bandar Seremban begitu pesat dimana perubahan demi perubahan yang berlaku memaksa Lembaga Kesihatan yang terhad aktivitinya diubah menjadi sebuah Lembaga Bandaran melalui Warta Kerajaan No. 143 bertarikh 12hb. Januari 1946 sehingga 1953 apabila ianya dinaikkan taraf kepada Majlis Bandaran Seremban. Pengerusi Lembaga Bandaran Seremban selepas perang ialah seorang pegawai Inggeris, LHN Davis manakala Pegawai Daerah Seremban merangkap Setiausaha Lembaga Perbandaran ialah YM Raja Azman Bin Raja Sir Chulan.

Apabila Negeri Sembilan telah menjadi anggota Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896, Seremban dengan sendirinya menjadi pusat pentadbiran, perdagangan dan pertanian bagi Negeri Sembilan. Seremban dianggarkan pada waktu itu (1916) memiliki penduduk seramai 20,000 orang dimana deretan bangunan kedai telah pun mula dibina disepanjang Jalan Paul, Jalan Birch, Jalan Cameron (Jalan Dato` Lee Fong Yee) dan Jalan Setul (Jalan Tun Dr. Ismail).

Tanggal 1953, Perlembagaan Lembaga Perbandaran Seremban telah dimansuhkan oleh Raja-Raja melalui Warta Kerajaan No. 262 bertarikh 14hb. April 1953. Mematuhi Seksyen 51 (1) Ordinan Pilihanraya Pihak Berkuasa Tempatan 1950, Pilihanraya Kerajaan Tempatan yang pertama telah diadakan pada 22hb. Ogos 1953. Pentadbiran Majlis Perbandaran Seremban pada waktu itu sering silih berganti mengikut suasana politik semasa di bandar Seremban. Bandar Seremban telah dibahagikan kepada 4 kawasan pilihanraya iaitu kawasan Temiang, kawasan Lake, kawasan Rahang dan kawasan Lobak. Berikut adalah senarai Pengerusi atau Presiden Majlis Perbandaran Seremban bermula dari tahun 1953 - 22hb. Julai 1965. Pada tanggal 23hb. Julai 1965, pentadbiran Majlis Perbandaran Seremban telah diambil alih oleh YAB. Dato' Menteri Besar Negeri Sembilan.

SEJARAH BANDAR NILAI (Gambar 4)

Serba Ringkas Asal Usul Pembukaan

Nilai mempunyai asal-usul dan sejarahnya yang tersendiri. Mengikut sejarahnya, Nilai dahulunya diletakkan di bawah luak Sungai Ujong yang ditadbir oleh waris di Darat yang ditadbir atau waris di Air. Di bawah Dato' Johan daripada waris di Darat terdapat tiga Dato' Lingkungan yang mengetuai tiga corak suku Batu hampar yang tertumpu di beberapa buah kampung. Keturunan lain termasuk dari Bentan yang tidak berdasarkan suku, tetapi mengikut kampung tempat tinggal masing-masing. Sebagai Dato' Lembaga waris Perut Hulu, Waris Telaga Undang Dato' Johan bukanlah titian balai kerana Dato' Andika adalah lebih kanan. Bagaimanapun kuasa yang diberikan oleh Dato' Kelana Putera bagi mengutip cukai sehingga tahun 1894 menunjukkan kedudukan Dato' Johan di sisi balai Undang adalah penting.

Dato' Johan yang ke-3 iaitu Dato' Maamor adalah Dato' Kelana Putera, Undang Luak Sungai Ujong ke-8. Sewaktu dilantik menyandang Pesaka Dato' Kelana Putera pun, Dato' Maamor masih belum dewasa. Ketika itu Pesaka Dato' Kelana Putera kosong sejak tahun 1887 apabila Dato' Mohd Yufof, Undang Luak Sungai Ujong dipecat. Disebabkan waris Perut Hulu tidak mempunyai anak lelaki yang yang boleh menyandang pesaka, maka anak-anak buah bersepakat melantik Dato' Maamor yang masih kanak-kanak itu menyandang pesaka Dato' Johan dan kemudiannya bergelar Dato' Kelana.

Wilayah kekuasaan Dato' Johan meliputi juga mukim Lenggeng yang termasuk didalamnya Kampung Mendum, Kampung Lenggeng, Kampung Sungai Jai, Kampung Hulu Beranang dan Kampung Dacing. Tiap-tiap kampung itu mempunyai ketua adat masing-masing yang dipanggil 'Tua Waris'. Terdapat juga suku orang Minangkabau yang bertumpu ke luak-luak lain di Negeri Sembilan sebelum mereka menetap di Kampung Lenggeng. Bagi menjamin kebajikan mereka di luak Sungai Ujong maka tiap-tiap suku itu diberi 'Tua Waris' bagi menjadi wakil mereka dalam urusan adat dan pentadbiran di Balai Undang Luak.

PIHAK BERKUASA TEMPATAN DI NILAI (Gambar 5)

Nilai dahulunya di tadbir oleh Majlis Perbandaran Nilai yamg diketuai oleh seorang Yang Di Pertua. Apa yang menarik Yang Di Pertua MPN juga merupakan Yang Di Pertua MPS.  Pada dahulunya dikenali sebagai Majlis Daerah Seremban (ditubuhkan pada 1 Januari 1979) melalui penyusunan semula ke atas Enam (6) Penguasa Tempatan di Negeri Sembilan sek.3 (a) dan 3(b), Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta 171

  • Majlis Tempatan Pajam (1957)
  • Majlis Tempatan Mantin (1958)
  • Majlis Tempatan Lembaga Bandaran Rantau (1959)
  • Majlis Tempatan Lembaga Bandaran Nilai (1959)
  • Majlis Tempatan Lembaga Bandaran Broga (1959)
  • Majlis Tempatan Lembaga Bandaran Labu (1959)

Majlis Perbandaran Nilai telah diberi kenaikan taraf daripada Majlis Daerah Seremban dan majlis pengisytiharan kenaikan taraf tersebut telah dilaksanakan secara rasmi pada 2 Februari 2002. Majlis Perbandaran Nilai telah dipertanggungjawabkan untuk mentadbir lapan buah Mukim yang terdapat di dalam Daerah Seremban . Antara Mukim yang berada di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Nilai pada masa ini ialah:

Mukim Setul

  • Mukim Labu
  • Mukim Rantau
  • Mukim Lenggeng
  • Mukim Pantai
  • Sebahagian Rasah
  • Sebahagian Ampangan
  • Sebahagian Seremban

Antara Mukim tersebut lima (5) daripadanya adalah Mukim Utama iaitu Mukim Setul, Labu, Rantau, Lenggeng dan Pantai manakala tiga (3) Mukim lagi adalah sebahagian sahaja yang mana ia telah dibahagi dengan Majlis Perbandaran Seremban iaitu sebahagian Rasah, sebahagian Ampangan dan sebahagian Seremban.

SEREMBAN DAN NILAI ERA KINI (Gambar 6)

Bandar Seremban dan Bandar Nilai kini mengelami evolusi perkembangan yang pesat melalui pembangunan Industri, perumahan, pengangkutan dan pelancongan. Dasar-dasar efektif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri menyebabkan kedua-dua Bandar ini terus membangun sejajar dengan matlamat kerajaan ini iaitu Bersih, Muafakat dan Sejahtera.

Tanggal 1 Januari 2020 secara rasminya Majlis Perbandaran Seremban dan Majlis Perbandaran Nilai telah bergabung menjadi satu entity iaitu Majlis Bandaraya Seremban. Pengabungan dan penaiktarafan status bandar ini melambangkan daerah Seremban telah menjadi satu Kota Metropolis yang penting di dalam pembangunan ekonomi di Malaysia. Penaiktarafan Majlis Bandaraya Seremban ini sekali gus membuktikan daerah Seremban kini mampu bersaing di kalangan Bandaraya di seluruh dunia yang bersama-sama melaksanakan pembangunan yang mampan.

Usaha-usaha pengabungan dan penaiktarafan status Bandar ini telah bermula sejak tahun 2008 yang dicetuskan oleh YB Dato’ Seri Mohamad bin Hj Hasan , Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, dan diteruskan oleh kini oleh  YAB Dato Seri Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan.

Pada 12 November 2008, Kerajaan Negeri, telah meluluskan cadangan untuk mencantumkan MPS dan MPN sebagai satu entiti dan menaikan tarafnya kepada Majlis Bandaraya Seremban

Selain itu, pada 2 Februari 2009 , telah juga mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia di dalam menaik taraf Majlis Bandaraya Seremban serta 20 April 2012 Mesyuarat Jemaah Menteri juga telah meluluskan juga berkaitan di atas.

Pengabungan dan penaiktarafan ini juga telah mendapat perkenan DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan tanggal 1 Januari 2020 maka secara rasminya Seremban menjadi Majlis Bandaraya Seremban.

Sejarah gilang gemilang ini pastinya satu titik tolak untuk Seremban terus maju serta pihak Majlis Bandaraya Seremban untuk terus menawarkan perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh warga Seremban. Daerah Seremban juga secara tidak langsung akan menjadi tumpuan kepada pelabur mahupun pelancong setaraf dengan bandaraya yang ada diseluruh Dunia.

 

WARISAN DAN BUDAYA

Bandar Seremban sama seperti Bandar Bersejarah yang lain. Bandar ini telah wujud sejak kurun ke 17 dengan dahulunya Bandar ini mempunyai pelabuhan penting yang terletak di tepi Sg. Linggi. Pada kurun ini juga, orang Minangkabau telah memasuki ke Negeri Sembilan dan berasimilasi bersama penduduk-penduduk tempatan. Bandar Seremban ini  juga kaya dengan warisan dan kebudayaan. Kebudayaan yang diamalkan di Bandar Seremban di namakan Adat Perpatih. Hal ini dapat dilihat melalui senibina-senibina yang terdapat di dalam Bandar yang dipengaruhi oleh beberapa generasi pembangunan Tradisional, Pasca-Klasik sehinggalah ke pembangunan Moden. Oleh itu, sebanyak 6 buah Bangunan di Bandar Seremban telah diwartakan sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan yang bertujuan memelihara dan memulihara bangunan tersebut.

Pengenalan Akta Warisan Kebangsaan (Gambar 7)

Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645] merupakan Akta untuk menguatkuasakan peruntukan bagi pemuliharaan dan pemeliharaan Warisan Kebangsaan, warisan semulajadi, warisan kebudayaan ketara dan tidak ketara, warisan kebudayaan di bawah air dan harta karun serta perkara yang berkaitan.

Akta 645 diluluskan oleh Parlimen pada 7 Disember 2005 dan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 31 Disember 2005. Akta ini telah berkuat kuasa pada 1 Mac 2006 dengan memansuhkan dua (2) Akta terdahulu, iaitu Akta Benda Purba 1976 dan Akta Harta Karun 1957.

Akta 645 mengandungi 17 bahagian yang terdiri daripada 126 seksyen berkaitan pemuliharaan dan pemeliharaan warisan. Akta 645 memperuntukkan kuasa kepada Menteri untuk menggubal dasar berkaitan pemuliharaan dan pemeliharaan warisan, pelantikan Pesuruhjaya Warisan, Ahli Majlis dan Pegawai Penguatkuasa serta pelantikan pegawai bagi membantu Pesuruhjaya Warisan dan Ahli Majlis Warisan Kebangsaan menjalankan fungsi dan tanggungjawab seperti yang digariskan oleh Akta. Sehubungan itu, segala perkara berkaitan pemuliharaan dan pemeliharaan warisan adalah tertakluk kepada Akta 645.

Sebarang ketidakpatuhan terhadap mana-mana peruntukan Akta 645 merupakan suatu kesalahan yang boleh dikenakan kompaun, denda atau dipenjara.

Rumah Negeri Sembilan (gambar 8)

Menurut catatan, Rumah Negeri Sembilan telah dibina sejak 1898. Sebelum ini, rumah ini adalah milik Undang Sg. Ujong yang terletak di Kampung Air Garam, Mambau. Pada tahun 1980 an, rumah ini dipindahkan ke tapak Kompleks Taman Seni Budaya sebagai muzium. Selain itu, pada tahun 1924 rumah ini pernah di bawa oleh Inggeris ke London bagi Pameran Great Wembley. Rumah Negeri Sembilan ini mendapat pengiktirafan Bangunan Warisan Kebangsaan pada tahun

Istana Ampangan Tinggi (gambar 9)

Istana Kayu ini terdiri daripada beberapa panel berukir halus dan sepasang pintu gelangsar berat yang tidak boleh ditemui sebarang tempat di Semenanjung Malaysia. Dahulunya, Istana ini telah dibina di atas permatang yang menghala ke sebuah sawah padi yang luas.Rumah ini bina oleh Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan yang 5 iaitu Yamtuan Ulin (yang dikenali Yamtuan Imam) yang memerintah dari tahun 1861-1869.

White House Seremban (Gambar 10)

Pejabat SUK lama (White House) yang terletak di Jalan Dato’ Hamzah mula dibina pada tahun 1912 oleh Arthur Benison Hubback. Bangunan ini berbentuk memanjang dan beranjung serta mempunyai ciri-ciri reka bentuk bangunan British. Bangunan ini kini menjadi hak milik Kerajaan Negeri Sembilan. Pada dahulunya, bangunan ini merupakan Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan pada tahun 1959 an. Menteri Besar menduduki sebuah bilik sederhana di bahagian tengah tingkat atas perjabat berkenaan dengan dibantu antara lainya oleh Seorang Setiausaha Sulit, seorang Steno dan seorang Penyelenggara Pejabat. Bangunan ini juga menempatkan Mahkamah Tinggi Seremban dan Majlis Negeri (Dewan Undangan Negeri).

Bangunan Kraftangan (gambar 10)

Bangunan bekas pejabat daerah dan jabatan ukur ini dibina pada tahun 1912. Bangunan ini dijadikan kediaman pegawai British semasa zaman pentadbiran Kapten Murray. Bangunan ini mempunyai ciri-ciri senibina kolonial dengan dua aras ketinggian yang menggunakan batu-bata merah dan lantai di aras duanya menggunakan kekemasan kayu.

Masjid Jamek, Seremban (Gambar 11)

Masjid ini telah dibina semula pada tahun 1900 di atas tapak masjid asal yang dibina daripada kayu merupakan antara masjid tertua di Negeri Sembilan dan diiktiraf oleh Jabatan Warisan Negara sebagai ‘Warisan Kebangsaan’. Dahulunya masjid ini tempat berkumpul para jemaah yang hendak ke tanah suci. Mengikut catatan sejarah, tapak masjid itu diwakafkan Dato Bandar Haji Ahmad Ali dan keluarga Sheikh Abdul Kadir yang dikatakan antara pendakwah terkenal ketika itu. Masjid ini terletak di Jalan Tun Dr Ismail.

Stesen Keretapi Seremban (Gambar 12)

Stesen kereta api Seremban dibina diantara 1904 hingga 1910 dengan kos sebanyak RM26,000.00. Dahulunya sistem keretapi ini diurus oleh Sungai Ujong Railway Co. Ltd sebelum di ambil alih Federated Malay States Railways (FMSR) pada tahun 1908 dan Kemudian Keretapi Tanah Melayu mengambil alih tanggungjawab mengelola semua landasan di Malaya pada tahun 1948. Stesen ini terus menawarkan layanan kereta api antara bandar di sepanjang Jalur Utara-Selatan serta menawarkan perkhidmatan pengiriman barang.

Sekolah Menengan KGV, Seremban (Gambar 13)

SMK KGV (Government English School) pertama kali dilancarkan pada 15 Januari 1923 di dalam sebuah bangunan stesen kereta api. Pada 7 Oktober 1926, bangunan utama sekolah ini mula dibina dan telah dirasmikan oleh W.G. Ormsby Gore pada 23 April 1928. SMK KGV pernah dijadikan sebagai hospital pada zaman pemerintahan Jepun. Bilik dewan utama sekolah pernah dijadikan bilik penyeksaan oleh askar Jepun.