Seremban, 19 Ogos 2026 - YBhg. Dato’ Ir. Ts. Haji Masri bin Baharuddin, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah menerima kunjungan hormat daripada Jabatan Perikanan Negeri Sembilan yang diketuai oleh Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Encik Kasim bin Tawe.
Kunjungan ini adalah bagi membincangkan dan mendapatkan pandangan mengenai cadangan jenis ikan yang bersesuaian untuk aktiviti memancing di Kolam Dataran Seremban. Pada masa yang sama ianya turut memberi tumpuan kepada aspek kesesuaian spesies ikan, pengurusan sumber perikanan serta kelestarian ekosistem kolam bagi memastikan kemudahan rekreasi ini dapat dimanfaatkan oleh warga Seremban dengan sebaiknya. Kerjasama strategik antara MBS, Jabatan Perikanan Negeri Sembilan dan operator Kolam Dataran Seremban, Zetaf Edar Enterprise, diharapkan dapat menjadikan kolam ini sebagai salah satu tarikan rekreasi dan aktiviti riadah baharu di pusat bandar Seremban. Turut hadir Tuan Ir. Ts. Br. Mohd Kamal bin Mohd Yusof Setiausaha MBS, Ketua-Ketua Jabatan/Unit MBS serta pegawai-pegawai Jabatan Perikanan Negeri Sembilan.