Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
Salam Seremban Mampan, Bersih dan Sejahtera
Salam Negeri Sembilan Bersih, Muafakat dan Sejahtera
Salam Malaysia MADANI
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan selamat datang ke Portal Rasmi Majlis Bandaraya Seremban (MBS) serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kesudian anda melayari portal ini.
Perkembangan pesat dunia digital masa kini telah mengubah corak kehidupan masyarakat ke arah ekosistem tanpa tunai, perniagaan berasaskan aplikasi serta perkhidmatan pintar. Seiring dengan perubahan ini, MBS komited untuk memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam melalui pendigitalan agar sentiasa relevan, cekap dan responsif terhadap keperluan warga bandar raya.
Selaras dengan Pelan Strategik MBS 2026–2030, Pelan Strategik Pendigitalan MBS 2026–2030 serta pelan-pelan MBS yang lain, MBS terus komited untuk meningkatkan kecekapan dan kualiti penyampaian perkhidmatan awam melalui pemanfaatan teknologi digital secara menyeluruh. Usaha ini merangkumi penambahbaikan sistem sedia ada, pembangunan perkhidmatan dalam talian yang lebih mesra pengguna serta pengukuhan infrastruktur digital bagi memastikan setiap urusan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, telus dan berkesan.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, MBS telah melaksanakan pelbagai inisiatif penambahbaikan digital bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan serta kemudahan kepada pelanggan. Antara perkhidmatan dalam talian yang disediakan ialah MBSClick, OSC Online dan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA). MBSClick merangkumi perkhidmatan permohonan, semakan status dan juga bayaran berkaitan cukai taksiran, kompaun, tempahan kemudahan awam, pengebumian, kelulusan pelan dan lain – lain. Kemudahan bayaran dalam talian boleh juga dibuat melalui PBTPay dan N9Pay selain MBSClick.
Inisiatif-inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan MBS dalam menyokong agenda pendigitalan perkhidmatan awam serta pembangunan bandar pintar (Smart City) sebagai teras kepada pembangunan bandar raya masa hadapan. Dalam masa yang sama, nilai integriti, ketelusan dan profesionalisme sentiasa menjadi tunjang utama dalam setiap tindakan dan keputusan pentadbiran MBS.
Saya berharap agar Portal Rasmi MBS ini dapat berperanan sebagai platform utama dalam penyampaian maklumat dan perkhidmatan digital kepada warga bandar raya, termasuk sebagai saluran aduan, cadangan serta rujukan maklumat. Inisiatif ini juga menyokong usaha memperkukuh budaya kerja berasaskan data di samping menggalakkan keterbukaan maklumat melalui pelaksanaan Data Terbuka (Open Data).
Dalam usaha merealisasikan aspirasi menjadikan Seremban sebagai sebuah “Bandar Raya Pintar yang Mampan, Bersih dan Berdaya Saing”, sokongan dan kerjasama semua pihak amatlah dihargai. Saya yakin bahawa dengan semangat muafakat, inovasi dan keprihatinan bersama, Seremban akan terus berkembang sebagai sebuah bandar raya yang progresif dan sejahtera, Insya-Allah.
Akhir kata, saya mengucapkan terima kasih atas sokongan berterusan semua pihak terhadap usaha MBS. Semoga portal ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan menjadi jambatan komunikasi digital yang lebih berkesan antara MBS dan warga Bandar Raya Seremban.
SEKIAN, TERIMA KASIH.
DATO' IR. TS. HAJI MASRI BIN BAHARUDDIN
DATUK BANDAR
MAJLIS BANDARAYA SEREMBAN