SEJARAH BANDAR NILAI 

Serba Ringkas Asal Usul Pembukaan

Nilai mempunyai asal-usul dan sejarahnya yang tersendiri. Mengikut sejarahnya, Nilai dahulunya diletakkan di bawah luak Sungai Ujong yang ditadbir oleh waris di Darat yang ditadbir atau waris di Air. Di bawah Dato' Johan daripada waris di Darat terdapat tiga Dato' Lingkungan yang mengetuai tiga corak suku Batu hampar yang tertumpu di beberapa buah kampung. Keturunan lain termasuk dari Bentan yang tidak berdasarkan suku, tetapi mengikut kampung tempat tinggal masing-masing. Sebagai Dato' Lembaga waris Perut Hulu, Waris Telaga Undang Dato' Johan bukanlah titian balai kerana Dato' Andika adalah lebih kanan. Bagaimanapun kuasa yang diberikan oleh Dato' Kelana Putera bagi mengutip cukai sehingga tahun 1894 menunjukkan kedudukan Dato' Johan di sisi balai Undang adalah penting.

Dato' Johan yang ke-3 iaitu Dato' Maamor adalah Dato' Kelana Putera, Undang Luak Sungai Ujong ke-8. Sewaktu dilantik menyandang Pesaka Dato' Kelana Putera pun, Dato' Maamor masih belum dewasa. Ketika itu Pesaka Dato' Kelana Putera kosong sejak tahun 1887 apabila Dato' Mohd Yufof, Undang Luak Sungai Ujong dipecat. Disebabkan waris Perut Hulu tidak mempunyai anak lelaki yang yang boleh menyandang pesaka, maka anak-anak buah bersepakat melantik Dato' Maamor yang masih kanak-kanak itu menyandang pesaka Dato' Johan dan kemudiannya bergelar Dato' Kelana.

Wilayah kekuasaan Dato' Johan meliputi juga mukim Lenggeng yang termasuk didalamnya Kampung Mendum, Kampung Lenggeng, Kampung Sungai Jai, Kampung Hulu Beranang dan Kampung Dacing. Tiap-tiap kampung itu mempunyai ketua adat masing-masing yang dipanggil 'Tua Waris'. Terdapat juga suku orang Minangkabau yang bertumpu ke luak-luak lain di Negeri Sembilan sebelum mereka menetap di Kampung Lenggeng. Bagi menjamin kebajikan mereka di luak Sungai Ujong maka tiap-tiap suku itu diberi 'Tua Waris' bagi menjadi wakil mereka dalam urusan adat dan pentadbiran di Balai Undang Luak.

 

PIHAK BERKUASA TEMPATAN DI NILAI 

Nilai dahulunya di tadbir oleh Majlis Perbandaran Nilai yamg diketuai oleh seorang Yang Di Pertua. Apa yang menarik Yang Di Pertua MPN juga merupakan Yang Di Pertua MPS.  Pada dahulunya dikenali sebagai Majlis Daerah Seremban (ditubuhkan pada 1 Januari 1979) melalui penyusunan semula ke atas Enam (6) Penguasa Tempatan di Negeri Sembilan sek.3 (a) dan 3(b), Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta 171

  • Majlis Tempatan Pajam (1957)
  • Majlis Tempatan Mantin (1958)
  • Majlis Tempatan Lembaga Bandaran Rantau (1959)
  • Majlis Tempatan Lembaga Bandaran Nilai (1959)
  • Majlis Tempatan Lembaga Bandaran Broga (1959)
  • Majlis Tempatan Lembaga Bandaran Labu (1959)

Majlis Perbandaran Nilai telah diberi kenaikan taraf daripada Majlis Daerah Seremban dan majlis pengisytiharan kenaikan taraf tersebut telah dilaksanakan secara rasmi pada 2 Februari 2002. Majlis Perbandaran Nilai telah dipertanggungjawabkan untuk mentadbir lapan buah Mukim yang terdapat di dalam Daerah Seremban . Antara Mukim yang berada di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Nilai pada masa ini ialah:

  • Mukim Setul
  • Mukim Labu
  • Mukim Rantau
  • Mukim Lenggeng
  • Mukim Pantai
  • Sebahagian Rasah
  • Sebahagian Ampangan
  • Sebahagian Seremban

Antara Mukim tersebut lima (5) daripadanya adalah Mukim Utama iaitu Mukim Setul, Labu, Rantau, Lenggeng dan Pantai manakala tiga (3) Mukim lagi adalah sebahagian sahaja yang mana ia telah dibahagi dengan Majlis Perbandaran Seremban iaitu sebahagian Rasah, sebahagian Ampangan dan sebahagian Seremban.

 

SEREMBAN DAN NILAI ERA KINI

Bandar Seremban dan Bandar Nilai kini mengelami evolusi perkembangan yang pesat melalui pembangunan Industri, perumahan, pengangkutan dan pelancongan. Dasar-dasar efektif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri menyebabkan kedua-dua Bandar ini terus membangun sejajar dengan matlamat kerajaan ini iaitu Bersih, Muafakat dan Sejahtera.

Tanggal 1 Januari 2020 secara rasminya Majlis Perbandaran Seremban dan Majlis Perbandaran Nilai telah bergabung menjadi satu entity iaitu Majlis Bandaraya Seremban. Pengabungan dan penaiktarafan status bandar ini melambangkan daerah Seremban telah menjadi satu Kota Metropolis yang penting di dalam pembangunan ekonomi di Malaysia. Penaiktarafan Majlis Bandaraya Seremban ini sekali gus membuktikan daerah Seremban kini mampu bersaing di kalangan Bandaraya di seluruh dunia yang bersama-sama melaksanakan pembangunan yang mampan.

Usaha-usaha pengabungan dan penaiktarafan status Bandar ini telah bermula sejak tahun 2008 yang dicetuskan oleh YB Dato’ Seri Mohamad bin Hj Hasan , Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, dan diteruskan oleh kini oleh  YAB Dato Seri Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan.

Pada 12 November 2008, Kerajaan Negeri, telah meluluskan cadangan untuk mencantumkan MPS dan MPN sebagai satu entiti dan menaikan tarafnya kepada Majlis Bandaraya Seremban

Selain itu, pada 2 Februari 2009 , telah juga mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia di dalam menaik taraf Majlis Bandaraya Seremban serta 20 April 2012 Mesyuarat Jemaah Menteri juga telah meluluskan juga berkaitan di atas.

Pengabungan dan penaiktarafan ini juga telah mendapat perkenan DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan tanggal 1 Januari 2020 maka secara rasminya Seremban menjadi Majlis Bandaraya Seremban.

Sejarah gilang gemilang ini pastinya satu titik tolak untuk Seremban terus maju serta pihak Majlis Bandaraya Seremban untuk terus menawarkan perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh warga Seremban. Daerah Seremban juga secara tidak langsung akan menjadi tumpuan kepada pelabur mahupun pelancong setaraf dengan bandaraya yang ada diseluruh Dunia.