Nilai, 14 November 2026 - Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB), Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dengan kerjasama pihak MC Desa Palma selaku tuan rumah telah menganjurkan Sesi Townhall JMB/MC Bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban bertempat di Pangsapuri Desa Palma, Nilai. Sesi ini telah dihadiri oleh YBhg. Dato’ Ir. Ts. Haji Masri bin Baharuddin, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban, bersama barisan Ketua Jabatan serta wakil-wakil JMB dan MC Kawasan Nilai. Penganjuran sesi ini bertujuan menyediakan ruang komunikasi dua hala antara pihak MBS dengan JMB/MC bagi membincangkan isu-isu berkaitan pengurusan dan penyenggaraan skim strata, di samping mendapatkan maklum balas, pandangan serta cadangan penambahbaikan daripada pihak pengurusan bangunan. Melalui sesi ini, pelbagai perkara berkaitan pengurusan strata telah dibincangkan secara terbuka bagi meningkatkan kefahaman, memperkukuh kerjasama serta memastikan pengurusan skim strata dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, sistematik dan berkesan. Diharapkan sesi seumpama ini dapat menjadi medium pengukuhan hubungan strategik antara pihak MBS dan JMB/MC dalam usaha bersama meningkatkan kualiti pengurusan serta kesejahteraan komuniti strata di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Seremban.