Seremban, 1 November 2026 - Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah menganjurkan Program Moh Jumpo Tok Banda bertempat di Mydin Mall Seremban 2. Program ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Ir. Ts. Haji Masri bin Baharuddin, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban, sebagai pendekatan baharu yang lebih mesra dan dekat dengan masyarakat, menggantikan program Hari Bertemu Pelanggan. Penjenamaan “Moh Jumpo Tok Banda” mencerminkan komitmen MBS untuk turun padang, berinteraksi secara langsung serta membuka ruang kepada warga bandar raya untuk menyampaikan aduan, pertanyaan, cadangan dan pandangan berkaitan perkhidmatan serta pengurusan bandar. Datuk Bandar dalam ucapannya menegaskan bahawa maklum balas masyarakat merupakan input penting bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan, memperkukuh sistem penyampaian dan memastikan perkhidmatan MBS sentiasa memenuhi keperluan warga Seremban. Program turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan mewarna kanak-kanak, kuiz Kahoot dan aktiviti interaktif. MBS juga menyediakan tawaran diskaun kompaun sehingga 70% bagi kesalahan meletakkan kenderaan, hadiah kepada 100 pembayar cukai taksiran atau kompaun terawal serta cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah telefon pintar. MBS merakamkan penghargaan kepada pihak MYDIN Seremban 2, rakan strategik, media dan semua pihak yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan program ini. Semoga semangat Moh Jumpo Tok Banda terus menjadi platform komunikasi dua hala yang berkesan dalam membina bandar raya Seremban yang mampan, bersih, sejahtera dan makmur.
Moh Kito Jumpo Tok Banda!
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |



















