Seremban, 1 November 2026 – Majlis Bandaraya Seremban (MBS) mencipta satu lagi tarikan rekreasi unik apabila YBhg. Dato’ Ir. Ts. Haji Masri bin Baharuddin, Datuk Bandar MBS telah menyempurnakan simbolik pelepasan ikan toman sempena program Jom Ngail @ Dataran Seremban. Program ini diketengahkan sebagai aktiviti casting toman pertama seumpamanya di sebuah bandaraya di Malaysia, membawa pengalaman sukan memancing ikan toman terus ke kawasan pusat bandar. Inisiatif ini menjadikan Ngail@Dataran Seremban bukan sekadar lokasi memancing, malah satu produk rekreasi bandar yang menggabungkan sukan, rekreasi, komuniti dan pelancongan. Pelepasan ikan toman oleh Datuk Bandar turut menjadi simbolik kepada usaha MBS memperluaskan pilihan aktiviti riadah untuk masyarakat, khususnya golongan pemancing dan peminat sukan casting. Menariknya, konsep yang diketengahkan ialah “Catch & Release”, sekali gus menggalakkan amalan memancing secara bertanggungjawab serta memastikan kelangsungan sumber ikan di kolam berkenaan. Berdasarkan promosi semasa, peminat casting boleh menikmati pengalaman memancing dengan kadar RM50 / 6 Jam tambahan RM10 / Jam. Promosi ini berlangsung sehingga 30 November 2026.