Seremban, 26 Jun 2026 - YBhg. Dato’ Ir. Ts. Haji Masri bin Baharuddin, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban telah mengadakan tinjauan awal ke Bilik Gerakan Pegawai Pengurus P.128 Seremban yang beroperasi di Bilik Dato’ Shahbandar, Wisma Majlis Bandaraya Seremban. Turut hadir sama YBrs. Tuan Ir. Ts. Br. Mohd Kamal bin Mohd Yusof, Setiausaha Majlis Bandaraya Seremban selaku Penolong Pegawai Pengurus (Pentadbiran). Lawatan ini bertujuan meninjau tahap kesiapsiagaan serta persiapan awal Bilik Gerakan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DUN) Negeri Sembilan Ke-16. Sepanjang tempoh pilihan raya, Bilik Gerakan ini akan menjadi pusat penyelarasan operasi bagi memastikan segala urusan berkaitan pilihan raya di bawah tanggungjawab Pegawai Pengurus P.128 Seremban dapat dilaksanakan dengan lancar, teratur dan mematuhi prosedur yang telah ditetapkan. Majlis Bandaraya Seremban komited untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam memastikan proses pilihan raya berjalan dengan cekap, telus dan berintegriti.