Putrajaya, 8 Jun 2026 - Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah menerima Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO), Jabatan Perdana Menteri, sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan pengurusan keselamatan perlindungan di MBS. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh YBhg. Datuk Abd Shukor bin Mahmood, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri kepada Ybhg Dato Ir. Ts. Hj. Masri bin Baharuddin, Datuk Bandar MBS di dalam majlis yang berlangsung di Dewan Damar Sari, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya sebentar tadi. Anugerah ini diberikan susulan Inspektorat Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan yang telah dilaksanakan oleh CGSO pada 8 hingga 9 September 2025. Hasil penilaian tersebut, MBS berjaya memperoleh pencapaian keseluruhan sebanyak 95.00%, sekali gus meletakkan tahap keselamatan perlindungan MBS pada kategori Cemerlang. Pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada MBS untuk terus memperkukuh budaya keselamatan perlindungan, meningkatkan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan serta memastikan tadbir urus organisasi sentiasa berada pada tahap terbaik dalam memberikan perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat. Tahniah dan syabas kepada seluruh warga kerja MBS atas komitmen dan dedikasi yang telah ditunjukkan dalam mencapai kejayaan ini. Majlis tersebut juga telah disempurnakan oleh , Tan Sri Dato’ Seri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara.
Tahniah MBS!