MBS SITA
 

 

Nilai: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menyita perniagaan membaiki kenderaan tanpa lesen perniagaan di Taman Semarak 2.

Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS, Hamizam Ahmad, berkata sitaan itu membabitkan dua premis dengan masing-masing dimiliki warga asing dari Nepal dan Bangladesh.

Katanya, mereka menjalankan perniagaan itu sejak beberapa bulan lalu dan siasatan lanjut sedang diambil.

"Seramai empat kakitangan penguat kuasa terbabit dalam melakukan rondaan dan pemeriksaan di sekitar Nilai dalam usaha mengesan warga asing yang menjalankan perniagaan.

"Daripada lebih 30 premis yang diperiksa di kawasan sekitar. Kita menemui dua premis yang dikendalikan warga asing kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

"Kami tidak berkompromi dengan mereka dan tindakan menyita premis dan merampas peralatan dilakukan semalam," katanya di sini, hari ini.

Hamizam berkata, operasi itu akan terus dilakukan untuk memastikan tiada mana-mana pihak yang boleh mengambil kesempatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976," katanya.