Nilai, 24 Ogos 2026 - YBhg. Dato' Ir.Ts. Haji Masri bin Baharuddin, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah hadir ke Program Pemberian Insentif Penyerahan Anjing Terbiar Secara Sukarela 2026 di perkarangan Dewan Majlis Bandaraya Seremban (Cawangan Nilai). Program ini merupakan sebagai salah satu usaha tambahan dalam menangani isu anjing terbiar serta membantu mengawal populasi anjing demi keselamatan, kebersihan dan kesejahteraan masyarakat.Melalui pelaksanaan program ini, sebanyak 8 ekor anjing terbiar yang diserahkan secara sukarela oleh orang awam kepada MBS telah diserahkan kepada dua (2) NGO, iaitu FURRYKIDS SAFE HAVEN dan NS HAPPY PAWS, untuk proses adopsi dan pengurusan sepanjang hayat. Setiap anjing yang diserahkan turut dilengkapi dengan mikrocip oleh MBS bagi tujuan pengenalpastian dan rekod.Pihak NGO yang menerima anjing berkenaan bertanggungjawab memastikan kebajikan dan penjagaan anjing, termasuk mendapatkan vaksinasi, melaksanakan pemandulan serta memastikan anjing tidak dilepaskan semula ke tempat awam. Sekiranya anjing berkenaan dilepaskan semula ke tempat awam dan diselamatkan semula oleh MBS, pihak NGO boleh dikenakan tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.Untuk makluman, program ini merupakan salah satu daripada pelbagai pendekatan yang dilaksanakan MBS dalam menangani isu anjing terbiar, antaranya penguatkuasaan pelesenan anjing, operasi menyelamat secara berkala, program pemberian insentif pemandulan sehingga RM200.00 bagi setiap pemilik anjing yang memandulkan dan melesenkan anjing peliharaan, serta kerjasama bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan agensi berkaitan.Justeru, bagi memastikan program dilaksanakan secara terkawal dan tidak disalahgunakan, MBS turut menetapkan syarat kelayakan termasuk anjing yang mempunyai pemilik, lesen, tanda pengenalan atau bukti pemilikan tidak layak untuk tuntutan insentif. Rekod penyerahan yang sistematik juga membolehkan MBS mengenal pasti kemungkinan aktiviti pembiakan atau pemeliharaan anjing secara tidak sah sekiranya terdapat individu yang menyerahkan anjing secara berulang, sekali gus membantu mencegah berlakunya "Cobra Effect” dalam pelaksanaan program.MBS merakamkan penghargaan kepada PDRM, JPVNS, NGO, komuniti dan orang awam yang telah memberikan kerjasama dan sokongan terhadap pelaksanaan program ini. Kerjasama berterusan semua pihak amat penting bagi memastikan isu anjing terbiar dapat ditangani secara berhemah, berkesan dan berterusan.Turut hadir semasa program diadakan ialah En. Thanabalan a/l Ramiah Ahli Majlis MBS dan Tuan Ir.Ts.Br. Mohd Kamal bin Mohd Yusof, Setiausaha MBS.Orang awam yang ingin turut serta dalam usaha MBS menangani isu anjing terbiar secara lebih berkesan dan berhemah, khususnya melalui Program Pemberian Insentif Penyerahan Anjing Terbiar Secara Sukarela 2026, boleh membuat permohonan melalui pautan berikut: