Seremban, 21 Januari 2026 - Majlis Bandaraya Seremban telah menerima laporan mengenai isu sewa tapak Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri di tapak Senawang yang mencecah harga sehingga RM8,000.00 di laman sosial Facebook Senawang Macam-Macam Ada. Bagi menjawab mengenai isu ini, YBhg. Dato’ Ir.Ts.Haji Masri bin Baharuddin Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban telah mengadakan perjumpaan bersama dengan pihak penganjur, peniaga, pengamal media dan pengadu tetapi pihak yang mengeluarkan spekulasi tidak hadir semasa sesi tersebut diadakan. Majlis Bandaraya Seremban ingin menafikan spekulasi di media sosial tersebut dan menegaskan bahawa MBS telah meletakkan syarat mengenai kadar bayaran bagi petak mengikut saiz dan lokasi melalui surat tawaran kepada penganjur. Sekiranya penganjur gagal mematuhi syarat yang telah ditetapkan, kebenaran untuk menganjurkan bazar boleh ditarik balik / dibatalkan dan segala bayaran yang telah dibuat tidak akan dikembalikan. Majis Bandaraya Seremban akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan palsu. Oleh itu, MBS meminta supaya warga bandaraya Seremban yang mempunyai aduan / bukti yang kukuh berkaitan perkara tersebut, boleh kemukakan terus kepada Majlis Bandaraya Seremban menerusi SISPAA MBS atau aplikasi Respons Rakyat. Perjumpaan ini turut dihadiri oleh wakil Polis DiRaja Malaysia dan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Perjumpaan yang diadakan bersama Datuk Bandar ini adalah daripada permintaan peniaga-peniaga yang dikenakan bayaran tinggi sendiri. Datuk Bandar sentiasa terbuka di dalam perbincangan bersama pihak Peniaga. Hadir semasa sesi tersebut diadakan ialah YB Tuan Haji Kamarol Ridzuan bin Mohd Zain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Ahli-Ahli Majlis MBS, Tn.Ir.Ts.Br. Mohd Kamal bin Mohd Yusof Setiausaha MBS, En. Lotffee bin Hj Abdullah Pengarah Pelesenan & Pembangunan Usahawan MBS, En. Hanizam bin Ahmad Pengarah Undang-Undang & Penguatkuasaan MBS, En. Shamaruddin bin Saidin Ketua Unit Komunikasi Korporat MBS.
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |
![]() |












