SEREMBAN, 23 JULAI 2026 – Pusat Pengangkutan Terminal 1 Seremban hari ini menerima Sijil Penarafan Terminal Gred A dalam Majlis Penyerahan Sijil Penarafan Terminal anjuran Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Kementerian Pengangkutan Malaysia. Majlis penyerahan sijil telah disempurnakan oleh YB Tuan Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan Malaysia. Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pula diwakili oleh YBrs. Puan Sr. Nor Zuliana binti Abd. Manan, Pengarah Penilaian dan Pengurusan Harta MBS, yang hadir mewakili YBhg. Datuk Bandar Seremban. Pusat Pengangkutan Terminal 1 Seremban yang telah dianugerahkan Penarafan Terminal Gred A oleh APAD membuktikan komitmen berterusan MBS bersama Energetic Point Sdn. Bhd. (EPSB) dalam memenuhi piawaian pengurusan terminal yang ditetapkan serta menyediakan kemudahan dan perkhidmatan pengangkutan awam yang selamat, berkualiti, cekap dan selesa kepada masyarakat. Antara perkara yang ditekankan semasa majlis ialah:
(a) Struktur Caj – Semua caj yang dikenakan kepada penumpang dan pengusaha bas adalah mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh APAD.
(b) Pembelian Tiket Secara Sah – Orang ramai disarankan mendapatkan tiket melalui saluran yang sah, termasuk kemudahan pembelian secara dalam talian yang disediakan oleh EPSB, bagi mengelakkan penipuan.
(c) Penjagaan Kemudahan Awam – Pengguna digalakkan menggunakan semua kemudahan yang telah dinaik taraf seperti ruang menunggu berhawa dingin, tandas, surau dan fasiliti lain secara berhemah serta bertanggungjawab.
Pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan Majlis Bandaraya Seremban untuk mempertingkatkan kualiti infrastruktur dan penyampaian perkhidmatan pengangkutan awam, selaras dengan aspirasi mewujudkan bandar Seremban yang mampan, berdaya huni dan berorientasikan rakyat. Usaha ini juga penting bagi memastikan pelaburan menaik taraf Pusat Pengangkutan Terminal 1 Seremban yang bernilai hampir RM14 juta terus memberi manfaat kepada masyarakat serta mengekalkan terminal ini sebagai hab pengangkutan awam yang moden, berkualiti dan menjadi kebanggaan warga Seremban. Tahniah kepada semua pihak yang telah menyumbang ke arah kejayaan ini, khususnya Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Kementerian Pengangkutan Malaysia, Energetic Point Sdn. Bhd. (EPSB) dan seluruh warga Majlis Bandaraya Seremban. Bersama-sama kita terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam yang cemerlang demi kesejahteraan rakyat.
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |





