Seremban, 10 Mei 2026 – Majlis Bandaraya Seremban telah menganjurkan Kejohanan Bola Baling Remaja (Bawah 16 Tahun) Piala Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban 2026 yang berlangsung pada 9 hingga 10 Mei 2026 (Sabtu dan Ahad) bermula jam 8.30 pagi hingga 6.00 petang bertempat di Kompleks Sukan Negeri, Paroi. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YBhg. Ir. Ts. Dato’ Haji Masri bin Baharuddin, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban diiringi Tuan Ir. Ts. Br. Mohd Kamal bin Mohd Yusof, Setiausaha Majlis Bandaraya Seremban. Turut hadir Ahli - Ahli Majlis, En.Saiful Azuar bin Ahmad Jadi Pengarah Pembangunan Masyarakat & Pelancongan MBS, Ketua Jabatan & Ketua Unit Majlis Bandaraya Seremban. Kejohanan kali ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila sebanyak 18 pasukan dari dalam dan luar Negeri Sembilan telah menyertai pertandingan bagi merebut gelaran juara kejohanan. Bagi kategori hadiah, pasukan Johan telah membawa pulang Piala Pusingan, medal serta wang tunai berjumlah RM2,000.00 yang dimenangi oleh Jerantut Handball. Manakala pasukan Naib Johan telah menerima medal berserta wang tunai sebanyak RM1,500.00 dimenangi oleh Pasir Gudang HC. Sementara itu, pemenang Tempat Ketiga telah menerima medal dan wang tunai berjumlah RM1,000.00 yang dimenangi oleh Lake Garden HC. Seterusnya Tempat Keempat pula telah membawa pulang medal serta wang tunai sebanyak RM500.00 dimenangi oleh Mansorian A HC. Penganjuran kejohanan ini merupakan salah satu usaha Majlis Bandaraya Seremban dalam melahirkan generasi remaja yang aktif, berdaya saing serta menerapkan nilai semangat kesukanan, disiplin dan setiakawan dalam kalangan pelajar sekolah. Majlis Bandaraya Seremban turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua sekolah, pegawai, jurulatih serta pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Kejohanan Bola Baling Remaja (Bawah 16 Tahun) Piala Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban 2026.
Majulah Sukan Untuk Negara.