Seremban, 9 Ogos 2026 – Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah menganjurkan Kejohanan Bola Jaring Terbuka Piala Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban 2026 yang berlangsung pada 8 hingga 9 Ogos 2026 (Sabtu dan Ahad) bermula jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang bertempat di Kompleks Sukan Negeri, Paroi. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Ir. Ts. Haji Masri bin Baharuddin, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban diiringi oleh Datin Hajah Nor Azian binti Dato' Mohd Nordin, Ahli Majlis, En. Saiful Azuar bin Ahmad Jadi Pengarah Pembangunan Masyarakat & Pelancongan MBS, Ketua Jabatan & Ketua Unit Majlis Bandaraya Seremban. Kejohanan kali ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila sebanyak 27 pasukan dari dalam dan luar Negeri Sembilan telah menyertai pertandingan bagi merebut gelaran juara kejohanan. Bagi kategori hadiah, pasukan Johan telah membawa pulang Piala Iringan, Piala Pusingan, medal serta wang tunai berjumlah RM3,000.00 yang dimenangi oleh MJL dari Kuala Lumpur. Manakala pasukan Naib Johan telah menerima medal berserta wang tunai sebanyak RM2,000.00 dimenangi oleh KL Flash dari Kuala Lumpur. Pasukan Ketiga telah menerima medal berserta wang tunai sebanyak RM1,000.00 dimenangi oleh Knicks dari Kuala Lumpur. Pasukan Keempat telah menerima medal berserta wang tunai sebanyak RM500.00 dimenangi oleh Twinkles dari Kuala Lumpur. Penganjuran kejohanan ini merupakan salah satu usaha Majlis Bandaraya Seremban dalam melahirkan generasi masyarakat yang aktif, berdaya saing serta menerapkan nilai semangat kesukanan, disiplin dan setiakawan dalam masyarakat Malaysia amnya dan Negeri Sembilan khususnya. Majlis Bandaraya Seremban turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Kejohanan Bola Jaring Terbuka Piala Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban 2026.