Jelebu, 19 - 21 Mei 2026 - Majlis Bandaraya Seremban melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat Dan Pelancongan telah mengadakan Program Kem Inspirasi Insani 2026 di Pusat Latihan Dan Kepimpinan UPNM, Kongkoi, Jelebu. Program ini juga merupakan anjuran bersama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Agensi Antidadah Kebangsaan Daerah Seremban dan Pejabat Pendidikan Daerah Seremban. Seramai 65 pelajar daripada 20 sekolah menengah sekitar Seremban telah terpilih untuk menghadiri program ini. Tujuan utama pelaksanaan program ini adalah untuk membentuk jati diri pelajar, memperkukuhkan nilai sahsiah serta membina benteng ketahanan diri dalam menghadapi ancaman penyalahgunaan dadah dan gejala sosial yang semakin mencabar pada hari ini. Antara aktiviti yang dijalankan adalah lawatan ke Institusi Pemulihan Dadah, Jabatan Penjara Malaysia, Jelebu dan aktiviti dalam kumpulan menerusi Slot Night Walk, Survival Course dan Jungle Tracking. Majlis perasmian penutup telah diadakan pada 21 Mei 2026, Khamis dan disempurnakan oleh Tuan Ir. Ts Br. Mohd Kamal bin Mohd Yusof, Setiausaha MBS yang mewakili YBhg. Datuk Bandar MBS. Turut hadir Puan Ruziliza binti Ibrahim, Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Sembilan, Encik Abdul Halim bin Hassan, Penolong Pengarah Unit Hal Ehwal Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Encik Saiful Azuar bin Haji Ahmad Jadi, Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat Dan Pelancongan MBS dan Puan Sarimah @ Sarizah binti Sis, Ketua Agensi Antidadah Kebangsaan Daerah Seremban. Semoga pelaksanaan program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang demi memperkasa nilai positif peserta dalam menjalani kehidupan seharian.