Majlis Makan Malam Program Familiarization Trip “Muslim-Friendly” Bersama Imam Dan Pempengaruh Muslim Eropah
Seremban, 23 November 2025 - Program Familiarization Trip (FAM Trip) “Muslim-Friendly” yang melibatkan seramai sepuluh (10) orang imam serta pempengaruh Muslim dari benua Eropah telah berjaya dianjurkan oleh Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan & Pengembaraan Malaysia (MATTA) dengan kerjasama Islamic Tourism Centre (ITC). Majlis Bandaraya Seremban (MBS) berbesar hati kerana telah diberi kepercayaan untuk menjadi tuan rumah bagi majlis makan malam sempena program ini. Majlis makan malam tersebut telah diadakan di Hayyan Huda Opah’s Kitchen, sebuah lokasi yang menampilkan citarasa tradisi Negeri Sembilan. Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran YB Datuk Haji Mohd Asna Bin Amin, Timbalan Speaker, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, YB Puan Nicole Tan Lee Koon, Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan serta YB Tuan Gunasekaren A/L Palasamy, Ahli Dewan Undangan Negeri Seremban Jaya. Penganjuran majlis ini memberi ruang kepada Majlis Bandaraya Seremban untuk memperkenalkan keunikan warisan budaya, kepelbagaian makanan serta keharmonian masyarakat majmuk yang menjadi identiti Negeri Sembilan. Inisiatif ini juga selaras dengan usaha berterusan kerajaan negeri dan MBS dalam memperkukuh imej Negeri Sembilan sebagai destinasi pelancongan berasaskan warisan, autentik dan mesra Muslim di peringkat antarabangsa. Kerjasama strategik bersama MATTA dan ITC ini diyakini mampu membuka peluang promosi lebih meluas, sekali gus menarik lebih ramai pelancong Muslim global untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai destinasi pilihan.