Seremban, 19 Mei 2026- Majlis Bandaraya Seremban (MBS) terus komited dalam memperkasa komuniti usahawan kecil menerusi pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan bagi peniaga gerai, pusat penjaja, MyKiosk dan Tapak Penjaja Sementara (TPS) di sekitar kawasan pentadbiran MBS. Program bertemakan Kursus Asas Pengurusan Kewangan Berkesan Bagi Peniaga dan Penjaja Kecil ini telah diadakan pada 19 Mei 2026 (Selasa) bertempat di Bilik Dato’ Dagang Paroi bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Seramai 38 orang peserta yang terdiri daripada peniaga dan penjaja kecil telah menyertai kursus ini melibatkan 15 lokasi gerai dan pusat penjaja di bawah seliaan MBS.  Antara kawasan yang terlibat ialah Pusat Penjaja Taman Desa Melur, Pusat Penjaja Taman Tunku Jaafar, TPS STAR, TPS Taman Sri Pulai, TPS Bandar Prima Senawang Jakel, Benteng Ampangan, Gerai Coral Heights Kontena, Gerai Taman Paroi Jaya, MyKiosk Taman Sri Pandan, MyKiosk Dataran Centrio, MyKiosk Taman Widuri Indah, TPS Taman Ampangan, Gerai Taman Ampangan, Pusat Penjaja Bukit Sri Senawang serta Gerai Penghulu Cantik. Kursus ini dikendalikan oleh penceramah jemputan, En. Mohd Shariman Che Deris daripada Kolej Yayasan Negeri Sembilan yang berkongsi pelbagai ilmu serta panduan berkaitan pengurusan kewangan perniagaan secara sistematik, teratur dan berkesan. Antara pengisian utama kursus termasuk kaedah merekod aliran tunai, pengurusan modal perniagaan, kawalan perbelanjaan, strategi simpanan serta teknik merancang kewangan bagi memastikan perniagaan kecil mampu berkembang secara mampan dan berdaya saing. Penganjuran program ini dilihat sebagai satu inisiatif penting dalam membantu para peniaga meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran pengurusan kewangan, selain melahirkan komuniti usahawan yang lebih berdaya tahan, profesional dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi semasa. MBS berharap program seumpama ini dapat memberi manfaat berterusan kepada para peserta serta menjadi platform pembangunan kapasiti usahawan kecil ke arah memperkukuh ekonomi komuniti setempat.