SEREMBAN, 8 September 2026 – Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan (JUUP), Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah menjalankan operasi penguatkuasaan dan sitaan terhadap sebuah premis perniagaan makanan dan minuman di Tingkat Atas, Jalan Dato Sheikh Ahmad, hari ini. Operasi yang bermula pada jam 9.00 pagi itu turut dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan. Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan daripada MBS dan dikendalikan oleh warga asing. Tindakan penguatkuasaan telah diambil dengan satu (1) kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Perlesenan Tred dan Perindustrian serta satu (1) notis sitaan dikeluarkan. Barang-barang yang disita telah dibawa ke Stor Jalan Labu untuk tindakan lanjut. Dalam operasi sama, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan telah membuat 10 tangkapan warga asing bagi tindakan dan siasatan lanjut di bawah bidang kuasa jabatan berkenaan. Pegawai Penguat Kuasa MBS turut membuat laporan polis berhubung operasi tersebut. Operasi berjalan dalam keadaan baik, lancar dan terkawal. Tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan bagi memastikan semua aktiviti perniagaan di kawasan pentadbiran MBS mematuhi peraturan dan syarat perlesenan yang ditetapkan.