Seremban, 5 Februari 2026 - Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah menganjurkan Sesi Libat Urus Bersama Pengusaha Restoran di daerah Seremban yang bermula pada jam 9.30 pagi bagi menjadi platform perbincangan antara pentadbiran Majlis dan pemain industri makanan tempatan. Program ini telah dihadiri oleh YBhg. Dato’ Ir. Ts. Hj. Masri bin Baharuddin, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban bersama YBrs. Tuan Ir. Ts. Br. Mohd Kamal bin Mohd Yusof, Setiausaha Majlis Bandaraya Seremban, Puan Azura binti Abu Hassan, Pengarah Pembangunan Masyarakat dan Pelancongan, Encik Mohd Lotffee bin Haji Abdullah, Pengarah Pelesenan dan Pembangunan Usahawan serta Encik Hanizam bin Ahmad, Pengarah Undang-Undang dan Penguatkuasaan. Seramai 12 pengusaha restoran di daerah Seremban telah menyertai sesi ini antaranya Restoran Selero Negeri, Aunty Aini’s Garden Café, Mee Kari Railway Rasah, Restoran Nelayan, Nasi Kandar Angau, Kak Dah Nasi Kandar Ori, Restoran Nasi Arab Damsyik, Nasi Arab Aladdin Senawang, Nasi Lemak Mambau, Restoran Mama World, Restoran Leh Pak Seremban dan Laman Kito Nine Lakes. Sesi ini merupakan inisiatif julung kali dilaksanakan oleh MBS bagi mendengar pandangan serta aduan pengusaha restoran. Antara perkara yang dibincangkan termasuk isu permohonan lesen, penambahan struktur premis serta aspek kebersihan dan pengurusan tong sampah. Selari dengan ucapan Datuk Bandar, MBS menegaskan bahawa industri restoran bukan sahaja berperanan sebagai pemacu ekonomi tempatan, malah merupakan komponen penting dalam membentuk imej dan identiti Seremban sebagai destinasi pelancongan gastronomi, khususnya sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026. Justeru, kerjasama erat antara Pihak Berkuasa Tempatan dan pengusaha restoran amat diperlukan bagi memastikan aspek pematuhan peraturan, kebersihan, keselamatan makanan serta kualiti perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik. Para pengusaha restoran turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pentadbiran MBS atas kesediaan mendengar permasalahan mereka serta usaha berterusan MBS dalam mempromosikan restoran tempatan, termasuk melalui inisiatif pelancongan gastronomi yang dilaksanakan bagi menyokong pertumbuhan sektor ini di Seremban. Majlis Bandaraya Seremban berharap sesi libat urus ini dapat memperkukuh hubungan strategik bersama pengusaha restoran serta menjadi pemangkin kepada pembangunan industri makanan yang lebih terancang, berdaya saing dan mampan demi menjadikan Seremban sebuah bandaraya yang bersih, beridentiti dan mesra pelancong.
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |















