Seremban, 6 Februari 2026 –Majlis Bandaraya Seremban telah mengadakan Sesi Pengundian Tapak Bazar Ramadan Dataran Senawang di Dewan Majlis Bandaraya Seremban. Sesi pengundian ini merupakan satu kaedah yang telus dan adil bagi memastikan setiap peniaga diberi peluang yang sama dalam pemilihan tapak berniaga. Bagi memastikan proses pengagihan tapak perniagaan yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Seremban dilaksanakan secara adil, telus dan berintegriti, pihak majlis akan menjalankan pengundian tapak melalui kaedah cabutan menggunakan bola ping pong. YBhg. Dato’ Ir. Ts. Haji Masri bin Baharuddin, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban, Tn. Ir. Ts. Br. Mohd Kamal bin Mohd Yusof Setiausaha MBS, En. Mohd Lotffee bin Abdullah Pengarah Pelesenan & Pembangunan Usahawan MBS dan En. Hanizam bin Ahmad Pengarah Undang-Undang & Penguatkuasaan MBS telah membuat cabutan undian pada hari tersebut.  Setiap bola ping pong yang disediakan telah dilabelkan dengan *nombor rujukan Nama Pemohon* yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Bandaraya Seremban. Semua bola ini dimasukkan ke dalam kotak dan akan digoncang terlebih dahulu bagi memastikan tiada sebarang unsur pemilihan atau kelebihan kepada mana-mana pihak. Setiap bola ping pong yang telah dicabut tidak akan dimasukkan semula ke dalam bekas pengundian bagi mengelakkan pertindihan tapak. Sehubungan dengan itu, keputusan pengundian ini adalah muktamad. Pihak Majlis juga menyediakan tapak khas kepada peniaga yang telah membayar deposit kepada penganjur Bazar Ramadan / Aidilfitri Tahun 2026, penetapan nombor tapak masih menggunakan kaedah undian yang sama
Peniaga perlu menandatangani borang Aku Janji Integriti Bazar Ramadan Tahun 1447H/2026M. Kadar bayar tapak adalah seperti berikut :

i. Bagi khemah bersaiz 20’x20’ kadar bayaran yang dikenakan sebanyak RM 3,500.00 dan deposit sebanyak RM 2,000.00
ii. Bagi khemah bersaiz 10’x10’ kadar bayaran yang dikenakan sebanyak RM 1,500.00 dan deposit sebanyak RM 1,500.00
iii. Bagi khemah bersaiz 10’x10’ (tapak sahaja) kadar bayaran yang dikenakan sebanyak RM 800.00 dan deposit sebanyak RM 500.00

Bayaran tapak hanya boleh dibayar secara one off payment. Majlis Bandaraya Seremban sentiasa berusaha memastikan pengurusan bazar dilaksanakan secara sistematik, berintegriti serta berpaksikan keadilan demi kesejahteraan semua pihak. Turut hadir semasa sesi tersebut diadakan ialah Ahli-Ahli Majlis MBS, PDRM dan SPRM.