SEREMBAN 27 Mac - Majlis Perbandaran Se­remban (MPS) dan Maj­lis Perbandaran Nilai (MPN) akan melaksanakan sistem bayaran tempat letak kenderaan secara elektronik (e-Parkir) di kawasan pentadbiran masing-masing mulai tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, menerusi sistem bayaran itu, pengguna boleh menambah waktu penyewaan parkir dengan menggunakan aplikasi di telefon pintar sekali gus memudahkan urusan berbanding sistem manual digunakan ketika ini.

Ujar beliau, langkah itu mampu meningkatkan pendapatan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana hasil tersebut akan dimasukkan terus ke dalam akaun MPS atau MPN tanpa melalui syarikat pengendali tempat letak kereta.

“Sistem elektronik itu akan dilaksana selewat-lewatnya hujung tahun depan. Kerajaan negeri menjangka PBT dapat menambah sehingga 60 peratus pendapatan berbanding penggunaan sistem bayaran secara ma­nual ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Me­syuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Negeri di sini baru-baru ini.

Mohamad berkata, PBT tidak perlu lagi melantik syarikat pengendali tempat letak kereta sebaliknya hanya dikehendaki membeli aplikasi pembayaran caj letak kereta dengan membayar royalti secara tahunan kepada syarikat yang memiliki hak ke atas aplikasi berkenaan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, kerajaan negeri bercadang memperluaskan pelaksanaan sistem elektro­nik dalam pentadbirannya me­lalui pemberian doket pengeluaran batu kuari dan pasir di negeri ini menerusi elektronik Doket (e-Doket) bagi menggantikan pemberian doket secara manual yang mudah dimanipulasi.

Mohamad berkata, beliau yakin dengan pelaksanaan e-Doket, ketirisan pendapatan kerajaan akan dapat diben­dung dan pada masa sama elemen yang mendorong kepada salah guna kuasa dapat di­sekat.

“Kita telah menyenarai pendek beberapa syarikat yang boleh menyediakan aplikasi e-Doket. Jadi, kita akan me­ngubah sistem doket yang dikeluarkan secara manual oleh Pejabat Tanah dan Galian kepada pengusaha batu kuari dan pasir,” ujarnya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/negeri-sembilan/tiada-lagi-resit-1.462700#ixzz4cdgFwcy1 
© Utusan Melayu (M) Bhd