Seremban, 24 Januari 2026 - Kejohanan Olahraga Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Sembilan 2026 telah berjaya dianjurkan dengan penuh gilang-gemilang sempena Sambutan Ulang Tahun Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Kali Ke-6, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan MBS dalam memperkasa budaya kesukanan serta mengeratkan hubungan strategik antara Bahagian Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Sembilan. Majlis Perasmian kejohanan telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ir. Ts. Hj. Masri bin Baharuddin, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban yang melambangkan sokongan padu kepimpinan tertinggi MBS terhadap acara sukan dan kesejahteraan warga PBT. Turut hadir memeriahkan majlis perasmian ialah Setiausaha Bahagian Bahagian Kerajaan Tempatan , Yang Dipertua-Yang Dipertua dari PBT Negeri Sembilan, Ahli-Ahli Majlis, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Unit serta wakil-wakil daripada setiap PBT yang terlibat. Kejohanan ini telah menghimpunkan seramai lebih kurang 200 orang atlet daripada 7 buah kontinjen yang bersaing dalam 39 acara keseluruhan. Penganjuran edisi kali ini turut mencipta kelainan dengan pengenalan dua (2) acara baharu, iaitu Lari 110 Meter Berpagar dan Merejam Lembing yang bukan sahaja menguji keupayaan atlet malah menambah daya tarikan serta nilai kompetitif kejohanan. Sebagai simbolik pelepasan rasmi kejohanan, YBhg. Datuk Bandar MBS telah melakukan tembakan mula bagi Acara 100 Meter Lumba Jalan Kaki Wanita VIP dan Acara 60 Meter Lumba Lari Lelaki VIP, sekali gus menandakan bermulanya kejohanan dengan penuh semangat, iltizam serta aspirasi kesukanan. Sepanjang kejohanan berlangsung, suasana amat meriah, rancak dan penuh keceriaan, diserikan dengan sorakan para penyokong serta semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan atlet. Kejohanan ini bukan sekadar menjadi medan persaingan, malah berperanan sebagai platform penyatuan dan kebersamaan apabila turut diselang-selikan dengan 20 cabutan bertuah yang dilaksanakan dalam 5 sesi sepanjang kejohanan, menjadikan penganjuran kali ini lebih bermakna dan dikenang. Bagi keputusan keseluruhan kejohanan, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) selaku tuan rumah telah dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan dengan pungutan 80 mata. Tempat Kedua pula menjadi milik Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) dengan 54 mata, manakala Tempat Ketiga disandang oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dengan 43 mata keseluruhan. Bagi kategori anugerah individu, Zamri bin Johar dari Majlis Daerah Tampin telah dinobatkan sebagai Olahragawan Kejohanan, manakala Intan Nurfadhilah binti Abd Malik dari Majlis Bandaraya Seremban menerima anugerah Olahragawati Kejohanan atas pencapaian cemerlang serta prestasi membanggakan sepanjang kejohanan. Penganjuran kejohanan ini diharapkan dapat terus mengukuhkan jalinan silaturahim, menyemai semangat perpaduan serta memupuk nilai kerja berpasukan dalam kalangan warga PBT, khususnya di Negeri Sembilan. Semoga semangat kesukanan yang terjalin ini dapat diteruskan dan diperkasakan pada masa akan datang, seterusnya menyaksikan penganjuran edisi akan datang yang lebih mantap, berimpak tinggi serta berterusan dalam melahirkan warga PBT yang sihat, berdaya saing dan berintegriti.
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |



















