Seremban, 27 Januari 2026 – Majlis Bandaraya Seremban telah melaksanakan operasi perobohan ke atas 2 premis di atas rizab awam, Jalan S2 B19 dan Jalan S2 B22, Pusat Dagangan Seremban 2, Seremban, Negeri Sembilan. Untuk makluman, pihak MBS menerusi Jabatan Kawalan Bangunan telah mengeluarkan 2 notis meroboh 14 hari kepada kedua-dua premis semenjak tahun 2024 dan 1 notis bagi tahun 2025 namun pemilik kedua-dua premis masih gagal mematuhi arahan meroboh. Hasil daripada keputusan Mesyuarat OSC Bil.9/2025 bertarikh 7 Mei 2025 juga memutuskan supaya notis pengosongan premis 30 hari dikeluarkan kepada pemilik binaan bertarikh 22 Mei 2025 terhadap 2 premis terlibat. Pemilik telah memohon rayuan penangguhan kerja-kerja perobohan kepada pihak MBS dan pihak MBS telah memberikan penangguhan sehingga 31 Disember 2025. Namun demikian, pemilik masih gagal mematuhi arahan notis pihak MBS. Adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 70 (1) Akta Jalan Parit & Bangunan 1974 (AKTA 133) di mana tiada seorang pun boleh mendirikan sesuatu bangunan tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa tempatan serta menjadi halangan dan kacauganggu awam selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 46 (1) (a) dan 86 (d) di dalam akta yang sama. Selain itu, ia juga menjadi kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828) iaitu pencerobohan tanah kerajaan kerana binaan di atas rizab awam. Sehubungan dengan itu, pihak MBS telah mengambil penetapan tindakan meroboh selepas semua notis yang dikeluarkan oleh pihak MBS diingkari. Susulan itu, notis pengosongan untuk tindakan perobohan telah dikeluarkan bertarikh 15 Disember 2025 selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 72 di dalam Akta Jalan, Parit & Bangunan 1974 (AKTA 133) iaitu tindakan meruntuh atau memindahkan bangunan yang tidak dibenarkan. Sebagai makluman tambahan, operasi ini adalah lanjutan daripada kerja-kerja penguatkuasaan terhadap binaan tanpa kebenaran di dalam kawasan MBS. Operasi perobohan telah berjalan dengan lancar dan aman tanpa sebarang provokasi dari mana-mana pihak. Operasi ini telah mendapat kerjasama daripada :
i. Pejabat Tanah dan Galian Negeri Sembilan
ii. Pejabat Daerah dan Tanah Seremban
iii. Polis DiRaja Malaysia (PDRM)
iv. Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia
v. Tenaga Nasional Berhad (TNB)
vi. Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp)
vii. Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS)
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |
![]() |




