SENAWANG, 1 Julai 2026– YBhg. Dato' Ir. Ts. Haji Masri bin Baharuddin, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban, bersama YBrs. Ir. Ts. Br. Mohd Kamal bin Mohd Yusof, Setiausaha Majlis Bandaraya Seremban, telah mengadakan lawatan ke tapak projek pembinaan jalan baharu yang dilaksanakan oleh pihak pemaju SPD Tech Valley bagi meninjau persediaan pelaksanaan projek tersebut. Projek pembinaan jalan sepanjang 800 meter itu dijadualkan bermula pada minggu hadapan dan disasarkan siap sepenuhnya pada akhir bulan Ogos 2026. Jalan baharu ini akan menghubungkan Taman Bandar Senawang dengan Taman Sena Park, sebelum disambungkan kepada jalan yang sedang dibina oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dijangka siap pada bulan September 2026. Keseluruhan jaringan jalan ini bakal menyediakan laluan alternatif yang lebih lancar kepada penduduk di sekitar Senawang dan kawasan berhampiran untuk menuju ke pusat bandar serta kawasan-kawasan utama di Senawang. Semasa lawatan tersebut, Datuk Bandar dan Setiausaha turut diberikan taklimat oleh wakil pemaju mengenai skop projek, jadual pelaksanaan serta perancangan pembinaan bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut tempoh yang telah ditetapkan. Pembinaan jalan alternatif ini dijangka memberi impak positif kepada penduduk melalui peningkatan tahap perhubungan, pengurangan kesesakan lalu lintas di laluan sedia ada serta mewujudkan rangkaian jalan yang lebih efisien bagi menyokong pembangunan pesat di kawasan Senawang. Majlis Bandaraya Seremban akan terus memantau pelaksanaan projek ini secara berterusan bagi memastikan setiap fasa pembinaan berjalan lancar, menepati spesifikasi yang ditetapkan dan dapat memberi manfaat optimum kepada seluruh warga Seremban. Hadir sama En. Shamaruddin bin Saidin, Ketua Unit Perhubungan Korporat MBS dan En. Nuh Nurul Mushawwir bin Abdul Aziz, Ketua Jurutera, MBS.
![]() | ![]() |
![]() | ![]() |



