Seremban, 4 September 2026 – YBhg. Dato’ Ir. Ts. Haji Masri bin Baharuddin, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah menyertai Perarakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1448H Peringkat Majlis Bandaraya Seremban anjuran Badan Kebajikan Islam Majlis Bandaraya Seremban (BAKI) di Wisma MBS. Turut hadir semasa perarakan ialah Tuan Ir. Ts. Br. Mohd Kamal bin Mohd Yusof, Setiausaha MBS, TPr. Mohd Daud bin Ahmad, Yang DiPertua BAKI MBS, para Pengarah/Ketua Jabatan serta warga MBS yang terdiri daripada pelbagai jabatan dan unit. Bersempena dengan sambutan ini, turut diadakan Program Ceramah Maulidur Rasul bertajuk “Sunnah Nabi S.A.W. Sebagai Jalan Penyelesaian Fitnah Akhir Zaman” yang disampaikan oleh Ustaz Hambali bin Saad, penceramah bebas. Majlis ini diadakan bagi memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta menyemarakkan kecintaan kepada Baginda melalui penghayatan sirah, akhlak dan sunnah Rasulullah SAW. Perarakan yang disertai warga MBS turut diserikan dengan alunan selawat, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim dan ukhuwah dalam kalangan warga kerja MBS. Semoga sambutan Maulidur Rasul ini menjadi wadah untuk kita terus meneladani akhlak Rasulullah SAW serta menghayati sunnah Baginda dalam kehidupan seharian.