Seremban, 14 September 2026 - Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah mengadakan Majlis Apresiasi Ahli Majlis 2026 sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas jasa, komitmen serta pengorbanan 24 orang Ahli Majlis MBS sepanjang tempoh tiga tahun perkhidmatan. Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh bermakna ini bukan sekadar sebuah majlis penghargaan, tetapi menjadi ruang untuk mengenang kembali segala usaha dan sumbangan Ahli-Ahli Majlis dalam membawa suara rakyat serta menjadi penghubung antara masyarakat dan pentadbiran MBS. Sepanjang tempoh perkhidmatan, pelbagai cabaran telah dilalui bersama termasuk menghadiri mesyuarat, mendengar dan menyelesaikan aduan rakyat, turun padang serta menyantuni masyarakat tanpa mengira masa dan keadaan. Segala usaha tersebut dilakukan dengan satu matlamat utama, iaitu memberikan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan dan kepentingan rakyat di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Seremban. Dalam majlis ini turut disampaikan sajak khas bertajuk "24 Insan Jasa Kepada Rakyat” nukilan Unit Perhubungan Korporat MBS sebagai simbolik penghargaan terhadap dedikasi dan khidmat bakti kesemua Ahli Majlis yang diraikan. MBS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada 24 orang Ahli Majlis atas segala masa, tenaga, buah fikiran, pengorbanan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan. Walaupun tempoh jawatan mempunyai penghujungnya, jasa dan kebaikan kepada rakyat akan terus dikenang. Semoga segala usaha, pengorbanan dan khidmat yang telah diberikan menjadi amal kebajikan serta mendapat ganjaran dan keberkatan daripada Allah SWT. Terima kasih 24 insan.
Jasa kepada rakyat, amanah kepada Allah.