Seremban, 16 Februari 2026 – YBhg. Dato’ Ir. Ts. Hj. Masri bin Baharuddin, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban telah menyempurnakan Perhimpunan Bahagian Penguatkuasa Tahun 2026, Jabatan Undang-Undang & Penguatkuasaan (JUUP) yang berlangsung pada pagi ini. Dalam ucapan beliau, Datuk Bandar menzahirkan penghargaan kepada seluruh barisan penguatkuasa yang disifatkan sebagai barisan hadapan dan wajah sebenar majlis di mata rakyat. Menurut beliau, masyarakat mungkin tidak mengenali pegawai di pejabat, namun anggota penguatkuasalah yang paling dekat dan sentiasa berinteraksi secara langsung dengan komuniti. Beliau menegaskan bahawa perhimpunan ini bukan sekadar acara rutin, sebaliknya menjadi titik tolak kepada perubahan drastik dalam memperkukuh institusi penguatkuasaan agar lebih dihormati dan disegani. Penguatkuasaan hari ini, katanya, bukan hanya tertumpu kepada pengeluaran kompaun atau tindakan sita, malah menuntut keupayaan mengurus cabaran kompleks termasuk isu penjaja tanpa lesen, kesesakan parkir, premis tidak bersih, struktur tanpa kelulusan serta tekanan media sosial. Datuk Bandar turut memperkenalkan prinsip R.O.G.E.R sebagai panduan utama warga penguatkuasa MBS:

R – Responsif: Bertindak pantas terhadap aduan rakyat kerana setiap aduan membawa makna besar kepada masyarakat.
O – Objektif: Melaksanakan tugas berlandaskan undang-undang tanpa dipengaruhi emosi, tekanan atau kepentingan tertentu.
G – Governance (Tadbir Urus & Integriti): Tiada kompromi terhadap rasuah, salah guna kuasa dan pilih kasih. Integriti adalah maruah diri dan organisasi.
E – Empati: Menguatkuasakan undang-undang dengan pendekatan berhemah, memberi penerangan dan nasihat tanpa kekasaran.
R – Profesionalisme: Berpenampilan kemas, mematuhi SOP, menyediakan laporan lengkap serta bertindak secara berpasukan kerana setiap anggota adalah duta majlis.

Beliau turut memaklumkan mengenai usaha kerjasama sinergi bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan dalam memperkukuh agenda pencegahan rasuah dan salah guna kuasa. Selain itu, arahan pusingan kerja anggota penguatkuasa akan dilaksanakan segera bagi memastikan ketelusan dan integriti terus terpelihara. Dalam masa yang sama, beliau menegaskan larangan sama sekali kepada pegawai penguatkuasa untuk menjadi “runner” kepada mana-mana pihak. Polisi “No Runner” yang telah dikeluarkan MBS bertujuan mengelakkan konflik kepentingan serta salah laku yang boleh menjejaskan reputasi organisasi. Mengambil maklum kejayaan Bahagian Penguatkuasa sepanjang tahun 2025 termasuk dalam bidang sukan, inovasi dan kemasyarakatan, Datuk Bandar merakamkan ucapan tahniah dan berharap kecemerlangan tersebut diteruskan pada tahun 2026. Menjelang Sambutan Tahun Baru Cina dan Bulan Ramadan, beliau menyeru agar pasukan penguatkuasa sentiasa bersedia dan komited sebagai tulang belakang keharmonian serta tadbir urus cemerlang Bandaraya Seremban. Beliau menyeru agar seluruh warga penguatkuasa terus menghayati konsep R.O.G.E.R demi memastikan penguatkuasaan dilaksanakan dengan penuh integriti, profesional dan berhemah. Turut hadir semasa perhimpunan ini diadakan ialah Tn. Ir. Ts. Br. Mohd Kamal bin Mohd Yusof, Setiausaha MBS dan En.Hanizam bin Ahmad Pengarah Undang-Undang & Penguatkuasaan MBS.